Saturday, 30 November 2013

I need You because I love You

Amat besar bezanya antara ungkapan, “aku cinta kamu kerana memerlukan mu” dengan “aku perlukan kamu kerana aku mencintai mu.” Ungkapan kedua lebih murni dan suci sifatnya. Itulah cinta yang ikhlas.
Begitulah sewajarnya cinta kita kepada Allah. Kita mesti memerlukan Allah kerana kita memang mencintaiNya. Jangan kita mencintaiNya hanya pada ketika-ketika kita memerlukanNya.  Itu cinta yang palsu. Cinta yang berfokus pada kepentingan diri bukan kepada Allah,  zat yang mesti kita cintai.
Berapa ramai manusia yang ketika dilanda masalah, susah, gagal, terhimpit, sakit dan miskin, merayu dan merintih kepada Allah. Ketika susah dia memperkemaskan ibadah dan akhlaknya. Panjang doa dan solatnya. Namun sebaik sahaja masalahnya selesai, apa yang dihajati telah tercapai,  dia kembali lalai, kufur dan derhaka. Tuhan diperlukan hanya pada waktu-waktu terdesak sahaja. Apabila senang Tuhan kembali dipinggirkan dan dilupakan. Apakah ini yang dikatakan cinta?
Ibadah orang yang mencintai Allah hanya ketika sedang terdesak sangat rapuh. Apabila Allah memberi apa yang dipohonnya,  dia alpa. Sebaiknya, jika yang dimintanya tidak kunjung tiba dia jadi kecewa, marah dan putus asa. Mengapa Tuhan tidak memperkenankan doa ku? Mengapa setelah lama aku berbuat baik keadaan ku masih begini? Dia seakan mendesak, bahkan memaksa  dan mengugut Tuhan dalam ibadat dan munajatnya.  Luntur dan gugur segala sifat kehambaannya semasa meminta. Hakikatnya dia adalah peminta yang ego.
Allah berfirman: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi bakhil. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (Al Ma’arij: 19-21). Jangan, jangan begitu. Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini sewaktu senang, “Barang siapa yang ingin ditolong Allah saat tertimpa malapetaka dan kesempitan, maka perbanyakanlah berdoa di saat lapang (senang).” (HR Tirmidzi) . Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini ketika susah, “”Ya Allah! Sungguh aku berlindung kepadaMu dari kesempitan dunia dan kesempitan hari kiamat.” (Abu Daud) ” Justeru, jika benar cintakan Allah, ingatlah Dia dalam senang dan susah.
Jangan samakan keperluan kita kepada Tuhan dengan ‘lampu Aladin’. Digosok dan didakap hanya apabila diperlukan.  Kita beribadah, bukan kerana-kerana yang lain tetapi semata-mata kerana mengharap wajah Allah. Kita mencinta Allah kerana kita memang mencintaiNya, bukan kerana mencintai diri kita. Lalu Allah akan sentiasa di hati kita, sewaktu senang dan susah, sewaktu sempit dan lapang, sewaktu di atas atau di bawah. Inilah cinta tanpa syarat.
Itulah cinta sejati. Cinta yang menafikan kepentingan dan keperluan diri demi yang dicintai. Mereka tidak sekali-kali tega untuk ‘menduakan’ cinta dengan selainnya. Tidak ada syirik dalam akidah dan ibadah, kerana  dalam hati mereka yang satu hanya ada cinta yang satu (Allah). Cinta orang mukmin hanya untuk Allah. Itu bukan cinta biasa, tetapi cinta luar biasa kerana terlalu cinta. Firman Allah:” Dan orang mukmin itu tersangat cinta kepada Allah.” (Al Baqarah 165).
Dalam hati itu mana mungkin ada riyak dan suma’ah? Puji dan keji manusia tidak menjejaskan hati.  Mereka bebas daripada kongkongan dunia luaran. Mereka bebas daripada belenggu ‘tuhan-tuhan kecil’ (kepentingan duniawi dan penghargaan manusia) untuk mengabdikan diri sepenuh dan seluruhnya kepada Allah.


Masalah manusia dari dahulu sehingga sekarang bukan kerana tidak ada Tuhan tetapi kerana terlalu banyak ‘Tuhan’. Terlalu banyak ‘Tuhan’  menyebabkan kita keliru dan buntu dalam hidup. Kita sukar membuat pilihan dan keputusan yang tepat dan cepat kerana terlalu banyak yang kita pertimbangkan. Sebaliknya, ikhlas itu bebas. Jika hati tulus, jalan hidup akan lurus. Hati tidak akan mudah terganggu oleh kerenah manusia. Itulah hati yang bahagia. Dalam hati itu sentiasa ada bisikan, “Ya Allah, aku memerlukan mu kerana aku mencintai mu!”

Friday, 22 November 2013

MADU LEBAH: PENAWAR SEPANJANG ZAMAN

Madu lebah: Penawar sepanjang zaman.
Oleh: Dr Norhaimaz b Mohd Manoor
LEBAH DAN MADU MENURUT AL-QURAN DAN AL-HADITH
Allah SWT berfirman, “Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu, keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamya terdapat ubat yang boleh mnyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang memikirkannya.” (An-Nahl 16: 68-69)
Rasulullah SAW bersabda, “Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an.” (HR Ibnu Majah, at-Tirmizi)
Lebah merupakan antara serangga yang disebut di dalam Al-Quran selain semut (an-Naml) dan labah-labah (al-’Ankabuut). Sifat lebah yang hidup secara berkoloni (berjamaah) dan sifat serta sikapnya yang bekerja berasaskan pembahagian tugasan serta disiplin yang tertentu, merupakan ibrah dan panduan yang seharusnya kita sebagai manusia teladani. Lebah hidup bersosial, bekerjasama dan saling bergantungan. Dalam kelompok lebah, ada yang berfungsi sebagai lebah ratu (tunggal), ada lebah jantan dan majoriti adalah lebah pekerja, iaitu lebah betina yang mempunyai sistem reproduksi tidak berkembang, dan kepelbagaian fungsi tugas ini perlu-memerlukan. Seperti yang dinyatakan dalam ayat surah An-Nahl di atas, Allah SWT menggambarkan lebah telah diperintahkan olehNya untuk membuat sarang-sarang di tempat-tempat tertentu seperti di bukit-bukit, di pokok-pokok , malah ditempat-tempat khas yang dibina oleh manusia. Daripada sifat inilah, lebah memilih nutrien-nutrien yang istimewa dari khazanah alam dan seterusnya menghasilkan madu. Lebah bukan sekadar memilih yang terbaik untuk diri mereka sendiri, malah memberi yang terbaik untuk manfaat yang lainnya.
Madu lebah dipercayai mempunyai kelebihan yang tersendiri. Hadis baginda Rasulullah SAW menggambarkan kedua-dua madu dan Al-Quran merupakan syifa’ (penawar) yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia, dan terpulanglah kepada manusia untuk memanfaatinya.
PENGGUNAAN MADU MENURUT KHAZANAH SILAM
Seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah mengadu tentang saudaranya yang sakit perut. Nabi Muhammad SAW bersabda, “dia hendaklah diberi minum madu.” Namun, lelaki tersebut datang semula mengatakan penyakit saudaranya tidak juga sembuh. Nabi Muhammad SAW menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali. Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya tidak juga sembuh, akhirnya Nabi SAW berkata ”Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong”. Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh. (HR Bukhari dan Muslim)
Madu lebah merupakan penawar sepanjang zaman. Selain digunakan sebagai pemanis asli untuk makanan secara meluas, ia juga digunakan oleh para tabib dizaman purba Mesir dan Yunani terutamanya membantu dalam proses penyembuhan luka dan masalah penghadaman atau masalah perut (gastrointestinal). Pada zaman kegemilangan ketenteraan Roman, tabib-tabib menggunakan madu untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka tentera-tentera yang tercedera di medan perang supaya tentera-tentera itu tadi dapat kembali berjuang di medan. Selain itu madu mengurangkan lendir, membuka ruang pernafasan dan membantu mengawal serangan bagi pesakit asma. Malah pada zaman kegemilangan tamadun Islam, cendekiawan Muslim antaranya Ibnu Sina memberikan beberapa preskripsi rawatan penyakit daripada madu dan sarang lebah serta dinukilan dalam bukunya yang masyhur iaitu Qanun fi at-Tibb.
KANDUNGAN DAN INTIPATI MADU
Madu merupakan produk semulajadi yang sangat tinggi kandungan nutrien dan nutrisi. Madu diperoleh daripada nektar bunga dan kandungan manis pada buah-buahan dihasilkan oleh kawanan lebah pekerja serta disimpan didalam sarang lebah. Disebabkan itulah, kandungan dan komposisi nutrien pada madu sangat bergantung kepada punca botani disesuatu kawasan serta pengaruh cuaca dan geografi keadaan sekitar. Secara umum, madu asli yang diperolehi dari hutan-hutan botani dan pendalaman, mengandungi kandungan nutrisi yang lebih lengkap dan menyeluruh serta mempunyai tambahan nutrien tertentu yang bermanfaat kepada manusia. Sudah semestinya jenis madu ini lebih mahal kerana sukar diperolehi. Madu ini juga dikenali sebagai madu asli dan antara madu asli tempatan yang terkenal adalah madu tualang dan madu gelam.
Majoriti kandungan nutrien yang terdapat pada madu adalah karbohidrat yang terdiri daripada fruktosa dan glukosa serta kandungan kecil gula renyai (seperti sukrosa) yang terhasil daripada tindakbalas enzim semasa proses penyimpanan di dalam sarang lebah. Kandungan lain madu ialah air sekitar 20% manakala selebihnya kandungan vitamin, mineral, asid amino bebas dan enzim. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, B6 dan B12 yang yang membantu perkembangan saraf dan otak. Kajian oleh ahli kimia juga mendapati madu lebah mengandungi bahan anti-radikal bebas (bahan anti-oksida). Walaubagaimanapun, kandungan bahan anti-radikal bebas ini berbeza dari jenis madu ke jenis madu yang lain. Antara bahan yang terdapat pada madu lebah sebagai agen menyisih radikal bebas adalah flavanoid, karotin (carotenoid) dan asid fenolik (phenolic).
KHASIAT MADU MENGIKUT KAJIAN SAINTIFIK MODEN
Madu lebah membekalkan karbohidrat dan memberi tenaga dalam bentuk kalori yang diperlukan oleh manusia kerana kandungan gulanya yang tinggi melebihi 80% daripada kandungan bahan keseluruhan madu lebah. Madu lebah lebih manis dari gula tebu kerana lebih kandungan fruktosa. Walaupun peratus kandungan gula pada madu lebah adalah tinggi, madu lebah asli selamat dimakan oleh pesakit kencing manis dalam kuantiti yang sederhana kerana sifatnya yang rendah ‘indeks glycemia’ menyebabkan kandungan gula dalam darah lebih perlahan, mudah dicerna dan jika dibandingkan gula tebu, ia kurang menyebabkan kawalan gula dalam darah yang terlalu tinggi dan tidak terkawal. Walaubagaimanapun, pesakit kencing manis juga dinasihati supaya kerap melakukan pemeriksaan gula dalam darah untuk memastikan kandungan gula sentiasa terkawal untuk mengelakkan sebarang komplikasi.
Madu juga digunakan secara besar-besaran dalam proses pemulihan luka disebabkan beberapa kebaikan yang terdapat padanya secara semulajadi antaranya ciri-ciri anti-bakteria, anti-inflamasi dan anti-oksidan (anti-radikal bebas). Sifat anti-oksidan ini juga dipercayai membantu dalam keseimbangan nutrisi dan bermanfaat kepada kesihatan mereka yang mengamalkan madu secara rutin disamping menyah-toksinkan radikal bebas penyebab pelbagai penyakit antaranya kanser. Walaupun secara klinikal madu bukanlah ubat atau penyembuh kepada kanser, tetapi dalam aspek perubatan pencegahan dan komplimentari, madu lebah dipercayai membantu pencegahan penyakit kanser.
SIFAT SEMULAJADI MADU MEMBANTU PROSES PENYEMBUHAN LUKA
Madu semakin mendapat tempat terutamnya penggunaannya sebagai alternatif atau komplimentari kepada pengubatan moden yng sedia ada. Beberapa kajian saintifik tempatan terhadap madu asli menunjukkan keberkesanannya secara klinikal terhadap proses penyembuhan luka. Madu asli yang disterilisasikan melalui proses tertentu, diaplikasi pada luka-luka pesakit dan seterunya menghasilkan keputusan yang memberangkan bukan saja dalam bentuk testimoni, malahan kajian klinikal juga membuktikan keberkesanan aplikasi topikal (setempat) madu lebah steril pada luka.
Penghasilan madu untuk proses penyembuhan luka ini mempunyai beberapa inovasi. Oleh kerana sifat semulajadi madu yang mempunyai kuantiti tinggi air, aplikasi pada luka menjadi sukar kerana madu tidak berada lama pada luka akibat kurang kelikatan dan mudah mengalir keluar daripada luka dan akhirnya mengurangkan kesan proses penyembuhan. Untuk itu sesetengah produk ditukar dalam bentuk kepada hydrogel yang lebih statik dan likat. Bagi tujuan komersial, madu lebah diubah kepada bentuk hydrogel malah diberi sinaran radiasi selamat untuk proses pensterilan (nyah kuman). Dan seterusnya selamat untuk diaplikasi pada luka.
Mengikut kajian klinikal, madu lebah asli yang digunakan untuk membantu sesuatu penyembuhan luka mampu memberikan keadaan lembap yang baik untuk proses pemulihan luka, mengurangkan jangkitan pada luka, mengurangkan inflamasi dan eksudasi pada luka. Madu asli juga dipercayai mempercepat proses pemulihan melalui stimulasi proses angiogenesis (proses penghasilan sel-sel baru), menggalakkan granulasi (penghasilan tisu yang sihat) dan proses epitialisasi (penghasilan tisu epitial di permukaan kulit) serta akhirnya memberi kesan yang bermanfaat dari segi kosmetik.
Terdapat dua jenis madu asli tempatan yang dijalankan secara meluas kajian-kajian tentang kelebihan penggunaan madu asli dalam proses penyembuhan luka, iaitu madu tualang dan madu gelam (Melaleuca spp.).
Isu yang menjadi perdebatan dan perbincangan dalam dunia perubatan adalah penularan dan berkembangnya kuman atau bakteria yang rentan dengan pelbagai antibiotik. Isu ini amat membimbangkan dunia perubatan kerana perkembangan bakteria ini lebih cepat berbanding dengan inovasi antibiotik baru itu sendiri.
Beberapa kajian dilakukan terhadap pesakit yang mendapat luka pada kulit atau pesakit lecuh terbakar dan didapati luka mengandungi kuman atau bakteria yang rentan pelbagai antibiotik menunjukkan respon yang positif apabila madu lebah diaplikasi secara topikal.
PENUTUP
Walaupun penggunaan madu lebah secara asasnya selamat untuk semua peringkat, tetapi kajian mendapati sebaliknya. Mikroorganisma atau organisma kecil membiak dalam keadaan kelembapan yang tinggi. Sebahagian besar organisma kecil tidak dapat membiak pada madu asli kerana keadaan serta kondisi yang tidak sesuai, iaitu mempunyai kandungan air yang terlalu rendah serta kepekatan gula yang sangat tinggi (iaitu keadaan osmolariti yang tinggi dan menyebabkan mikroorganisma mati). Terdapat sesetengah kajian yang menyatakan keperluan untuk berhati-hati dalam penggunaan madu terutamanya dikalangan bayi yang masih kecil. Dipercayai sesetengah madu merupakan tempat berselindungnya benih Clostridium botulinum yang dorman (lemah) malah ia boleh berubah menjadi aktif di dalam perut bayi baru lahir yang mempunyai sistem penghadaman yang belum matang dan seterusnya mengakibatkan komplikasi keracunan.
Apapun, benarlah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nahl seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini. Kadangkala kita terlalu mengagungkan ubat-ubatan moden hinggakan akhirnya kita alpa bahawa di dalam Al-Quran telah dinyatakan khasiat khazanah yang Allah SWT kurniakan kepada umat manusia, iaitulah madu. Semoga ahli sains dan pengamal perubatan Muslim mampu menegakkan sunnah dan membuktikan kebenaran wahyu malah dapat diaplikasi dalam sistem perubatan moden melalui kajian-kajian klinikal yang berautoriti. Sesungguhnya sebagai umat Islam kita adalah golongan yang beriman dengan sebenar-benar dan percaya tanpa ragu apa yang Allah SWT nukilkan dalam Al-Quran. Malah dalam Kalam Tuhan ini jugalah Allah SWT menceritakan bahawa antara nikmat di syurga yang menanti hambaNya adalah sungai-sungai madu yang tidak tergambar oleh kehebatan akal manusia semasa di dunia.
Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”(Apakah) perumpamaan (penghuni) Jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka, sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?” (Muhammmad 47: 15)
Akhirnya, janganlah kita berputus asa dari ujian dan rahmat Allah SWT, kerana setiap penyakit terdapat penawar. Batas ilmu yang ada pada manusialah yang menyebabkan penawar bagi penyakit tertentu belum di temui.
Dari Abi Darda’ ra, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.“ (HR Abu Daud)
Wallahu a’lam.

Friday, 15 November 2013

Malam Cinta Rasul Putrajaya 07112013

Malam Khamis 7 November lalu berpeluang menghadiri malam cinta rasul yang diaadakan diputrajaya bersempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Putrajaya.

Alhamdulillah sampai awal dan dapat duduk di barisan hadapan...Si comel Ali pun x meragam..Alhamdulillah..

Syukur Allah memberi kesempatan untuk berada didalam majlis yang penuh keberkatan...sesi Ustaz Don Daniyal pon terbaikkk!!!!

Semoga semua yang hadir dan mereka yang hanya berkesempatan untuk menonton di TV Al Hijrah memperoleh segala kebaikan di dunia mahupun di akhirat, diberkati dan dirahmati Allah dan semoga cinta kita terhadap Rasulullah S.A.W terus mekar harum di hati.....

Sollu A'la Nabi...